Annuar Musa bakal sertai Pas demi bertanding PRN Kelantan

Oleh MHDAILY

Annuar Musa bakal sertai Pas demi bertanding PRN Kelantan.

BEKAS Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan telah membuat keputusan untuk menyertai Pas bagi meneruskan kerjaya politiknya.

Menurut laporan Malaysiakini yang memetik sumber, Annuar dilaporkan telah pun mengisi borang keahlian Pas.

Annuar Musa bakal sertai Pas demi bertanding PRN Kelantan

Pada masa sama, sumber yang rapat dengan Annuar itu turut tidak menolak kemungkinan bahawa bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu menjadi salah seorang calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, sumber tersebut memberitahu, Annuar hanya bercadang mengumumkan penyertaan ke dalam Pas itu selepas Aidilfitri nanti.

“Setakat ini Annuar dah buat keputusan untuk sertai PAS cuma tunggu masa untuk dia buat pengumuman rasmi.

“Difahamkan beliau akan umumkan perkara itu selepas sambutan Aidilfitri nanti sebagai langkah membangkitkan mood PRN.

“Tak mustahil dia (Annuar) akan bertanding dan Pas sendiri boleh menaruh harapan terhadap pengaruh serta pengalaman Annuar,” katanya.

Malaysiakini turut menghubungi Annuar, namun bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu memaklumkan sedang berada di Mekah dan enggan mengulas lanjut.

Baca artikel berkaitan: Tiga bulan tidak berparti, Annuar Musa mahu kembali

“Maaf Saya di Mekah, tak berhasrat bercakap hal politik,” katanya ringkas.

Februari lalu, Annuar dalam hantaran di Facebook menyatakan hasrat untuk kembali meneruskan perjuangan politik secara berparti.

Ia selepas kira-kira tiga bulan beliau dipecat daripada UMNO.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu tidak menyatakan dengan jelas parti politik mana yang mahu disertainya selepas ini.

Namun, beliau memaklumkan akan memilih parti yang sesuai dengan jiwa perjuangannya.

Disember lalu, Annuar merupakan antara tiga ahli UMNO yang dilucutkan keahlian hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu.

Selain bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu, turut dilucutkan keahlian ketika itu adalah Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datin Seri Shamsiah Yassin.

Annuar kemudiannya menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN) yang turut disertai beberapa ahli politik lain.

BACA:

Kecoh kewujudan lubang misteri sedut air tasik sampai kering, macam mana boleh jadi? Ini ceritanya

Pemuda ini terjumpa cincin dalam hutan, rupanya cincin ini milik raja abad ke-14 bernilai cecah RM 300k!