Annuar bukan jurucakap PAS – Khaled Nordin

Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata parti itu tidak mahu dipaksa “menerima” PPBM dan berharap PAS akan memahami dan menghormati kedudukannya tentang hubungan dengan parti serpihan itu.

Katanya, Umno bukan dalam misi untuk memberikan ihsan kepada mana-mana pihak untuk bernafas dan meraih kemenangan dengan pertolongan jenteranya.

“Hanya jauhari yang mengenal manikam,” kata Khaled mengulas laporan Malaysiakini yang memetik Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa sebagai berkata PAS tidak akan bersama Umno tanpa PPBM.

Annuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, memberi gambaran bahawa PAS bertegas mahukan Umno menjadi rakan sekutu PPBM.

Khaled menepis Annuar sebagai seorang yang “bukan jurucakap PAS” dan mempersoalkan niatnya dalam membuat tafsiran sedemikian.

“Ia datang daripada seorang yang hanya ingin menyelamatkan PPBM dan memecah-belahkan Muafakat Nasional,” tambahnya.

Kepada PAS, Khaled berkata Umno menghargai setiakawan parti itu, dan menegasken kerjasama mereka banyak memberikan kebaikan kepada politik Melayu-Islam.

Katanya, Umno tidak menghalang PAS menyertai Perikatan Nasional, walaupun gabungan itu dipimpin PPBM, kerana partinya memahami dan menghormati kedudukan PAS.

“Maka demikian juga yang Umno harapkan daripada PAS tentang hubungan Umno dengan PPBM,” katanya.

Tambahnya, PAS pasti sedar Umno akan bertembung dengan PPBM di beberapa kerusi pilihan raya.

“Apa jua rundingan dengan PPBM adalah untuk Umno lakukan terus dengan PN melalui Barisan Nasional,” katanya.

Barisan Nasional ketika ini dianggotai Umno, MCA dan MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Umno memeterai kerjasama politik dengan PAS menerusi Muafakat Nasional, yang diasaskan selepas keputusan pilihan raya umum ke-14.

Kerjasama itu menyaksikan Umno memenangi beberapa pilihan raya kecil secara berterusan.

“Umno dan PAS mempunyai sinergi yang meyakinkan. Maka sinergi inilah yang mesti dioptimumkan waktu ini,” kata Khaled.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/23/umno-tidak-mahu-dipaksa-terima-ppbm-khaled-jawap-laporan-petik-annuar/