Anggota polis dicekup SPRM bagi bantu siasatan kes rasuah

Seorang anggota polis berpangkat sarjan merupakan antara empat individu direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan melibatkan kes rasuah, baru-baru ini.

Menurut sumber, tiga lagi yang direman terdiri daripada seorang wanita yang merupakan wakil peguam dan dua lelaki awam.

Katanya, perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim sehingga 26 Februari ini.

Jelasnya, pada 4 Februari lalu, anggota polis berkenaan yang berperanan sebagai penolong pegawai penyiasat didakwa menghubungi seorang lelaki memintanya bertemu wakil peguam dikenali sebagai ‘Kak Long’ bagi menyelesaikan satu aduan kes jenayah terhadapnya.

“Lelaki itu dikatakan telah memukul seorang individu lain, jadi sebagai balasan untuk menarik balik laporan polis terhadap dirinya dan rakan-rakan didakwa bersubahat, lelaki itu diminta Kak Long untuk membayar RM18,000,” katanya di sini.

Sumber memberitahu, lelaki itu sebelum ini telah membuat pembayaran berjumlah RM3,000 manakala bakinya perlu dijelaskan sebelum 23 Februari ini.

“Keempat-empat mereka yang berusia antara 26 hingga 64 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara pukul 1 petang hingga 5.20 petang semalam.

“Seorang lagi individu berusia 35 tahun yang merupakan pemandu kepada wanita tersebut turut dirakam percakapan dan dilepaskan dengan jaminan SPRM,” jelasnya.

Berita Penuh :https://www.utusan.com.my/berita/2021/02/polis-berpangkat-sarjan-direman-kes-rasuah/