Anggaplah pembelian peranti PdPR sebagai pelaburan masa depan

Anggaplah pembelian peranti PdPR sebagai pelaburan masa depan

bu bapa dan guru perlu menganggap perbelanjaan membeli peranti untuk membolehkan murid mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian sebagai pelaburan untuk masa depan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Mohamad Ali Hasan berkata, susulan pengumuman pembukaan semula sekolah secara berperingkat mulai 1 Mac oleh Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin semalam, ramai ibu bapa menzahirkan rasa terkilan dan kecewa menerusi media sosial.

Katanya, ini kerana mereka menganggap pembelian peranti seperti telefon bimbit dan komputer riba untuk tujuan PdPR seolah-olah satu pembaziran, tambahan dengan pelancaran DidikTV oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yasin kelmarin.

Mohamad Ali bersimpati dengan ibu bapa dan guru yang sudah membelanjakan sejumlah wang membeli peranti dan menyiapkan alat bantuan mengajar untuk PdPR.

“Semua ini seolah-olah satu pembaziran wang, dan dana kerajaan serta Kementerian Pendidikan (KPM) sendiri,” katanya.

Namun, katanya, tidak mustahil kaedah PdPR akan diguna pakai semula oleh KPM jika kes Covid-19 kembali meningkat selepas sekolah dibuka jika hal seperti pematuhan prosedur operasi standard (SOP), keselamatan, dan pengurusan pelajar di sekolah diambil mudah.

“Saya berpandangan KPM berbuat demikian selepas mendapati cara terbaik untuk membolehkan pelajar dan murid mendapatkan ilmu menerusi PdP bersemuka di sekolah,” katanya kepada FMT.

Selain itu, beliau berpandangan KPM membuat keputusan itu dengan mengambil kira kepentingan pembangunan akhlak, sahsiah, emosi dan sosialisasi diajar secara bersemuka.

“Saya mengucapkan syabas kepada KPM kerana memutuskan untuk membuka sesi persekolahan secara berperingkat. Langkah ini dapat mengelak sekolah menjadi terlalu sesak dan dibimbangi akan mewujudkan kluster sekolah.

“Pembukaan sekolah ini juga selari dengan pembukaan hampir semua sektor ekonomi, kebenaran untuk menaiki kenderaan berdasarkan kapasiti penumpang, serta pengoperasian kedai makan dengan SOP ketat.

“Keyakinan itu diperkukuhkan lagi dengan ketibaan vaksin Pfizer ke Malaysia esok dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijangka bermula 26 Feb. Maka kerajaan wajar mempertimbangkan semula (keseimbangan) antara kesihatan, kegiatan ekonomi dan kemajuan pendidikan negara,” katanya.

Radzi dalam sidang media khasnya semalam, mengumumkan sesi persekolahan kembali dibuka secara berperingkat mulai 1 Mac.

Murid tahun 1 dan 2 di semua sekolah kerajaan akan kembali ke sekolah bermula 1 Mac, manakala sesi persekolahan untuk murid tahun 3 hingga 6 bermula 8 Mac.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Harry Tan Huat Hock berkata, seluruh warga pendidik gembira dengan keputusan itu.

Menurut Tan, kajian dilakukan NUTP tahun lalu menunjukkan lebih 93% daripada 10,500 guru yang menjadi responden memilih kaedah PdP secara bersemuka kerana lebih berkesan dan mudah difahami murid.

“Kita tidak boleh lari daripada Covid-19, yang penting, kita mesti menguruskan wabak ini mengikut sains dan juga SOP disediakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata, mereka juga tidak melihat DidikTV sebagai satu pembaziran.

“Ia (boleh dilihat) sebagai satu alat mengajar tambahan untuk membantu anak didik kita semasa mereka berada di rumah atau tanpa akses kepada guru mereka,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/20/anggap-pembelian-peranti-pdpr-pelaburan-masa-depan/

COMMENTS

Wordpress (0)