AMANAH serah sumbangan Bakul RAHMAH kepada penghuni Pusat Transit Gelandangan KL

Oleh MHDAILY

Sebanyak 100 Bakul Rahmah disumbangkan kepada Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur pagi tadi bagi membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik yang menjadi penghuni di situ.

Sumbangan yang disampaikan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Ketua AWAN Nasional, Aiman Athirah Al-Jundi diterima oleh penyelia pusat, Bahrin Tugiman dan pegawai operasi, Syed Anas Syed Ali sebagai wakil pusat tersebut.

Menurut Baharin, pusat transit itu dikhaskan kepada golongan lelaki manakala perempuan pula ditempatkan di Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang terletak di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur.

Pusat yang dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dobi, dewan makan, klinik kesihatan dan tempat tidur itu mampu memuatkan kira-kira 250 orang pada satu-satu masa.

Dalam ziarah itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai turut mengambil peluang berbual dengan para penghuni di situ di samping menyampaikan sumbangan wang tunai.

Turut hadir, Timbalan Ketua AWAN Nasional yang juga ADUN Maharani, Norhayati Bachok; Naib Ketua AWAN Nasional, Norhayati Bidin; Setiausaha AWAN Nasional, Soraya Salim; dan Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Asmaaliff Abdul Adam.

Aiman Athirah dan anggota AWAN membawa Bakul Rahmah untuk diagih kepada penghuni pusat transit.

Ketika ditemui selepas ziarah, Salahuddin yang juga ADUN Simpang Jeram berkata, usaha ziarah dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik seperti gelandangan perlu digalakkan untuk menyemai nilai kasih sayang dan kemanusiaan.

Beliau berkata, golongan lain seperti rakyat miskin, anak-anak yatim serta mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 perlu diberi perhatian yang lebih baik dan menyeluruh.

“Ziarah atau program kebajikan perlu dilaksanakan dengan lebih proaktif ke seluruh negara.

“Tambahan pula, sekarang ramai yang kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19, jadi semua program kebajikan perlu diberi nilai tambah,” ujarnya kepada Malaysiadateline.

Beliau turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang yang ramai tidak mahu berkongsi identiti mereka.

“Sumbangan ini amat dihargai dan terima kasih walaupun kita tidak kenal siapa penyumbang yang ingin berbakti kepada masyarakat,” ujar Salahuddin lagi.

Antara gelandangan di pusat transit di ibu negara yang menerima sumbangan Bakul Rahmah dari pimpinan AMANAH.

Kebajikan dan kemanusiaan

Sementara itu, Aiman Athirah pula memberitahu, selepas ziarah di pusat transit itu, sayap wanita AMANAH akan mengadakan usaha sama di Anjung Singgah yang dihuni oleh golongan wanita.

Katanya, AWAN Nasional akan meluaskan usaha menyantuni golongan yang kurang bernasib baik bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara terutama ketika musim penularan Covid-19 sekarang.

Tambahnya yang juga Ahli Dewan Negara, ziarah seumpama ini juga bertujuan melatih para aktivis parti untuk menjalankan program kebajikan dan kaedah menyantuni pelbagai kelompok masyarakat di seluruh negara.

“Kita tidak mahu ahli-ahli faham bahawa parti ini hanya berpolitik sahaja. Kita juga mahu meluaskan kefahaman mereka supaya membawa agenda Rahmatan Lil ‘Alamin menerusi pendekatan berbentuk kebajikan dan kemanusiaan.

“Ahli-ahli perlu memahami keperitan golongan yang ditindas dan kurang bernasib baik terlebih dahulu supaya perjuangan parti ini memenuhi tuntutan agama,” ujarnya.

Pimpinan AMANAH Nasional ketika mendengar penjelasan daripada penyelia pusat dan pegawai operasi Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur.

Berita penuh : – https://malaysiadateline.com/timbalan-presiden-awan-nasional-santuni-penghuni-pusat-transit-gelandangan-kl/MD