Akuan bersumpah sokong Hishamuddin itu benar, kata Nazri

Akuan bersumpah sokong Hishamuddin itu benar, kata Nazri

Akuan bersumpah sokong Hishamuddin itu benar. Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mendesak agar sidang parlimen diadakan segera, namun tidak mengendahkan desakan agar Umno mengadakan pemilihan parti, kata Ahli Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz.

Nazri berkata, tempoh Zahid sebagai presiden sepatutnya berakhir bulan ini dan selepas itu pemilihan baru mesti diadakan.

“Zahid ni, dia suruh buat parlimen secepat mungkin.

“Kalau (sesuatu yang) mendorong kepada PRU minta secepat mungkin, tapi pemilihan parti buat-buat tak dengar,” kata Nazri kepada Malaysiakini.

Nazri menambah, tiada keperluan untuk menggesa Zahid mengundurkan diri atau bercuti memandangkan dia hanya menjadi “presiden sementara” setelah tempoh jawatannya berakhir.

Zahid memenangi jawatan presiden Umno pada 30 Jun 2018.

Menurut perlembagaan Umno, pemilihan parti mesti diadakan setiap tiga tahun.

Majlis Tertinggi Umno boleh menangguhkan pemilihan selama 18 bulan, tetapi belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu.

Satu sumber sebelum ini berkata, permohonan Umno untuk mengadakan pemilihan parti ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ekoran peningkatan kes Covid-19.

Dilaporkan pemilihan parti akan menyebabkan perhimpunan besar-besaran.

Sementara itu, Nazri mengulas kenyataan Zahid yang mengatakan dakwaannya bahawa 25 ahli parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap pengerusi gabungan itu, sebagai “cerita kartun”.

“Saya tidak boleh menjawab kepadanya. Bagaimana saya boleh jawab respons yang lucu?

“Saya hanya ingin katakan bila kamu tak dapat patahkan hujah seseorang, maka kamu cari jalan keluar dengan mengatakan itu lucu atau lawak.

“Bagi saya, dia (Zahid) tidak mempunyai hujah kukuh untuk mempertikaikan saya,” tambahnya.

Nazri semalam mendakwa 25 daripada 42 ahli parlimen BN telah menandatangani akuan bersumpah (SD) sebagai ‘mandat’ kepada Menteri Luar Hishammuddin Hussein sekiranya ahli parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata dia mempunyai bukti bahawa akaun bersumpah itu adalah benar dan mendakwa beberapa ahli Majlis Tertinggi Umno turut menandatanganinya.

Nazri sekali lagi menegaskan bahawa SB itu bukan bertujuan untuk menyokong Hishammuddin sebagai perdana menteri atau timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut apabila ditanya siapa yang akan memimpin Umno pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, dengan mengatakan perkara itu perlu diputuskan pada pemilihan parti.

Nazri menyatakan penentangan terhadap Zahid selepas Presiden Umno itu didakwa berusaha menjalinkan kerjasama politik dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Pada Oktober tahun lalu, Zahid didakwa menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi menyatakan sokongan terhadap Anwar sebagai perdana menteri.

Pejabat Zahid mendakwa surat itu palsu, namun Nazri dan beberapa lagi pemimpin Umno menyatakan sebaliknya.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menegaskan, tindakan presiden Umno itu merupakan pelanggaran tatatertib yang serius dan mesti disiasat oleh lem,baga dispilin parti.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/580274