Akta lompat parti : Bersatu belum tahu lagi nak sokong atau tidak

BERSATU belum tahu lagi sama ada akan menyokong usul Akta Anti Lompat Parti jika dibentangkan di Parlimen, demikian kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, perkara itu sedang diperhalusi di peringkat parti kerana lompat parti telah mengundang dua pandangan yang berbeza mengenainya.

“Setakat ini isu Anti Lompat Parti masih dibincangkan dalam Bersatu, ada yang menyatakan ia patut disokong jika undang-undang itu diperkenalkan dan ada pula beranggapan tidak patut sebab ia melanggar hak asasi.

Akta lompat parti : Bersatu belum tahu lagi nak sokong atau tidak

“Saya faham dari kedua-dua belah ini sebab saya pun pernah buat kajian ini. Satu pihak menyatakan tak boleh melompat parti, mereka kata rakyat pilih parti dan bukan pilih calon.

“Pandangan sebelah lain pula ialah tidak boleh dihalang untuk melompat parti kerana ia adalah wakil rakyat dan bukan wakil parti. Jadi apabila namanya wakil rakyat, maka bolehlah hendak pergi ke mana-mana parti pun dan tidak boleh disekat,” katanya dalam sidang media di pejabat Penerangan Bersatu di Damansara, hari ini.

Wan Saiful berkata, kedua-dua pandangan itu relevan dan Bersatu akan memutuskan sama ada menyokong atau sebaliknya nanti.

“Kedua-dua pandangan ini ‘valid’, di peringkat Bersatu masih dalam proses perbincangan, akan adalah pemimpin-pemimpin yang bercakap untuk mempertimbangkan.

“Akan ada bila kita hendak buat keputusan nanti pengumuman rasmi sama ada Bersatu menyokong atau menolak isu ini,” katanya.

Bulan lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika di ambang kejatuhannya sebagai Perdana Menteri telah menawarkan kepada pembangkang sebuah kerajaan bi-partisan.

Muhyiddin dalam tawaran itu turut menawarkan untuk menggubal Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti untuk mencegah ketidakstabilan politik pada masa akan datang.

Terbaharu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman menggesa kerajaan menggubal Undang-Undang Anti Lompat Parti (Anti-Hoping Laws) bagi memastikan kesetiaan dan integriti dalam politik.

Azalina berkata ini bagi memastikan ahli parti politik tidak membuat pengkhianatan dan komplot bagi menjatuhkan kerajaan dan parti.

Berita Penuh : https://malaysiapost.com.my/2021/09/09/bersatu-belum-tahu-lagi-sokong-usul-anti-lompat-parti/

BACA JUGA : Saya jadi mangsa diheret ke mahkamah, kata Ahmad Maslan