Aksi kanak-kanak enggan naik ambulan undang rasa sebak netizen

Netizen sebak melihat rakaman video seorang kanak-kanak dipercayai pesakit Covid-19 menangis dan terpaksa dipujuk ahli keluarga untuk menaiki ambulans ketika kenderaan itu tiba di rumahnya.
Menerusi perkongsian video di Facebook Shuk Osman, kanak-kanak itu dilihat enggan menaiki kenderaan tersebut sehingga terpaksa didukung oleh ahli keluarganya.
Tinjauan Kosmo! di ruang komen mendapati rata-rata netizen meluahkan rasa sedih melihat kanak-kanak tersebut menangis dan enggan menaiki kenderaan tersebut selain mempersoalkan mengapa dia tidak ditemani oleh penjaganya.
“Kalau anak-anak positif memang tak boleh teman sekali ke? Tak sangguplah tengok macam ni, saya sanggup lagi ikut naik ambulans dari biar anak sorang-sorang,” kata Nurul Nadia.
“Kalau aku memang takkan lepaskan anak. Biar aku jaga, kuarantin sama-sama,” kata Faezah.
Bagaimanapun, seorang individu dikenali sebagai Hazim Yunus bertindak membalas beberapa komen tersebut untuk memaklumkan bahawa kanak-kanak itu merupakan anak perempuannya yang perlu dihantar ke pusat kuarantin di mana ibu kepada kanak-kanak itu sudahpun berada di sana terlebih dahulu.
“Kami semua sudah berada di pusat kuarantin. Anak saya yang ini baru sahaja didapati positif (Covid-19), wajib ada penjaga kanak-kanak. Jadi, ambulans akan hantar anak saya kepada ibunya nanti,” katanya.
Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/07/25/ramai-sebak-lihat-kanak-kanak-enggan-naik-ambulans-tanpa-penjaga/