Akhirnya Umno nekad tolak rundingan kerusi dengan Bersatu

Walau UMNO kini masih lagi bekerjasama dengan Bersatu sehingga Parlimen dibubarkan, tetapi ketetapannya enggan bersama dan berkongsi pembahagian kerusi dengan parti serpihan itu dalam PRU15 akan datang adalah suatu keputusan yang betul dan tepat.

Tindakan itu akan meletakkan UMNO mampu mengembalikan keunggulan sebagai parti Melayu yang paling diterima di negara ini, sekaligus mengekalkan Bersatu sebagai parti kecil, tersisih dan cuma serpihan.

Sebaliknya, bekerjasamanya UMNO dengan Bersatu hanyalah untuk memberi nyawa agar parti yang bakal terkubur itu mampu terus hidup dan bernyawa lebih lama dengan selesa.

Sehubungan itu, keputusan UMNO menolak sebarang lanjutan rundingan dengan Bersatu amatlah disanjung dan terpuji sekali.

Azmin Ali, pengkhianat yang bakal terkambus masa depan politiknya jika tanpa kerjasama daripada UMNO, semalam telah merayu dan mengajak UMNO untuk kembali ke meja rundingan demi masa depan negara kononnya.

Menurut beliau, UMNO tidak seharusnya memusnahkan kerajaan yang dibina bersama sejak setahun lalu hanya disebabkan penbahagian 13 kerusi yang menjadi pertikaian dengan Bersatu.

13 kerusi yang dimaksudkan itu ialah kerusi-kerusi pelompat katak daripada UMNO yang beralih menyertai Bersatu selepas PRU14 lalu yang mana UMO bertegas mahu menuntut kembali dan meletakkan calonnya di semua kerusi tersebut dalam PRU akan datang.

“Apakah kerana 13 kerusi ini kita mahu runtuhkan sebuah kerajaan yang kita bina bersama?

“Maka saya ingin ambil pendekatan, jika itulah isunya, ayuh kita tumpu perbincangan terhadap 13 kerusi itu,” katanya.

Begitu pun, Pengarah Pilihanraya UMNO, Tajuddin Abdul Rahman bertegas menolak pelawaan Azmin itu.

Katanya, berikutan ketetapan UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu, bermakna tiada rundingan lanjut diperlukan berkaitan 13 kerusi yang menjadi pertikaian itu.

“Pendirian UMNO ialah kita akan mengambil semula semua ‘kawasan lompat’ itu.

“Jadi, bila kita nak ambil balik, tiada perundingan,” tegasnya.

Veteran UMNO, Shahrir Samad pula menyindir dengan lebih pedas berhubung pelawaan Azmin mengajak berunding itu.

Menurut beliau, bagi ‘durjana politik’, semua perkara boleh dirunding, termasuk prinsip dan maruah.

“Bagi durjana politik, semuanya boleh runding. Harga ke, pendakwaan ke, prinsip ke, maruah ke…runding je,” tulis beliau di laman Facebooknya.

Hakikatnya, rata-rata pemimpin UMNO, kecuali yang telah diracun jiwanya sehingga berubah menjadi pro Bersatu, tetap dengan pendirian menolak kerjasama dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin dalam PRU akan datang.

Ini kerana mereka sedar, kerjasama itu amat merugikan UMNO, tetapi hanya untuk kepentingan menyelamatkan tengkuk Bersatu semata-mata, terutama pemegang kerusi lompat daripada UMNO dan juga PKR.

UMNO sebenarnya mampu kembali berkuasa tanpa Bersatu, tetapi Bersatu tidak mungkin mampu mengekalkan kuasanya lagi jika tanpa kerjasama daripada UMNO.

Kalau dalam PRU14 lalu di mana ketika itu sentimen menolak UMNO begitu kuat sekali, tetapi parti itu masih berjaya memenangi lebih banyak kerusi iaitu 54 berbanding 13 oleh Bersatu, sudah tentu dalam PRU15 akan datang di mana sentimen kebencian kepada Muhyiddin dan kelompok pengkhianat sedang memuncak, UMNO akan jauh lebih unggul lagi kemampuannya berbanding Bersatu.

Bagi Bersatu pula, mereka ini tidak ubah seperti dedalu kerana dulu mereka bergantung kepada PKR dan DAP untuk mencipta kemenangan, dalam PRU akan datang rancangannya ialah untuk memperalatkan UMNO pula.

Berdasarkan realiti ini, sekalung ucapan syabas dan tahniah buat UMNO kerana kekal konsisten dan tetap dengan pendirian menolak Bersatu sehingga apa-apa perundingan pun ditolak mentah-mentah begitu saja.

Berita penuh : https://shahbudindotcom.net/2021/03/15/syabas-buat-umno-kerana-kekal-tolak-dan-enggan-berunding-dengan-bersatu.html