Air mentah P.Pinang bawah urusan Putrajaya, KM beritahu MB Kedah

Air mentah P.Pinang bawah urusan Putrajaya, KM beritahu MB Kedah

Menteri Besar Kedah ‘silap orang’ apabila menuntut RM50 juta setahun daripada Pulau Pinang sebagai pampasan berhubung penggunaan air mentah Sungai Muda, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Muhammad Sanusi Md Nor sepatutnya menuntut RM50 juta itu daripada Putrajaya kerana kerajaan pusat bertanggungjawab penuh ke atas semua isu yang melibatkan air mentah, kata Chow.

Beliau juga menegaskan Sanusi tidak ada hak mempertikaikan lawatan pegawai-pegawai pihak berkuasa air Pulau Pinang ke Hutan Simpan Ulu Muda di Kedah untuk menjalankan tugas mereka.

Sanusi sebelum ini menyifatkan tindakan pegawai-pegawai Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu sebagai ‘mencerobohi’ sempadan Kedah.

Chow menyelar Sanusi kerana mengambil pendirian sebegitu dan menegaskan undang-undang negara memberi kebebasan penuh untuk rakyatnya merentas negeri.

“Apakah tuduhan (pencerobohan) Sanusi itu membawa maksud saya boleh menghalang Menteri Besar Kedah apabila beliau menggunakan laluan negeri ini untuk ke Kuala Lumpur,” tanya Chow.

Chow berkata kerajaan pimpinannya tidak akan melayan sebarang tuntutan kewangan Kedah berhubung dengan sumber air mentah Sungei Muda.

Beliau juga berkata PBAPP berhak sepenuhnya menggunakan sumber air mentah yang di ambil daripada Sungai Muda di sebelah sempadan negeri Pulau Pinang.

Chow berkata beliau tidak bercadang melayan surat-surat tuntutan daripada Sanusi untuk memperolehi pampasan RM50 juta itu.

Beliau menegaskan PBAPP tidak berhutang kepada sesiapa.

Sanusi sebelum ini menyelar PBAPP kerana dilihat mempertikaikan hak kerajaan negeri menerokai industri nadir bumi di Kedah yang, menurutnya bernilai RM62 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Jaseni Maidinsa menggesa rancangan untuk menjalankan perlombongan nadir bumi berskala besar di Ulu Muda dihentikan serta-merta kerana ia akan menjejaskan sumber air mentah untuk Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/10/tuntut-rm50-juta-dari-putrajaya-bukan-kami-p-pinang-beritahu-sanusi/