Ahmad Maslan diminta lupakan hasrat tanding Timbalan Speaker, kata pemimpin Umno

Ahmad Maslan diminta lupakan hasrat tanding Timbalan Speaker.Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi menasihati setiausaha agung parti itu agar membatalkan rancangannya untuk cuba mengisi salah satu kekosongan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Kata Mohd Puad dia dimaklumkan nama Ahmad Maslan itu dicadangkan oleh perdana menteri sendiri, iaitu Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob.

Pun begitu katanya ahli parlimen Bersatu – yang mendukung Ismail Sabri sehingga membolehkan dia menjadi perdana menteri – mungkin tidak memberikan sokongan kepada Ahmad.

Keadaan itu kata Mohd Puad menyebabkan pengundian bagi memilih timbalan speaker Dewan Rakyat ditangguhkan minggu lalu.

“Pengundian minggu lalu ditangguhkan kerana sokongan tidak solid,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Untuk rekod jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat kosong apabila penyandangnya, Azalina Othman Said, meletak jawatan di ambang pengunduran Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Ketika ini ada dua jawatan timbalan speaker. Satu lagi kerusi diisi Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon. Dia memenangi kerusi itu atas tiket Pakatan Harapan (PH) namun menyertai Bersatu pada akhir Feb tahun lalu.

Ahmad

‘Kenapa kami kena sokong?’

Selain Ahmad, seorang lagi calon untuk mengisi kekosongan itu ialah Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, yang dicalonkan pembangkang.

Undian dijangka dibuat pada Selasa namun pada petang hari itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan pengundian itu ditangguhkan sehingga sesi akan datang.

Kata menteri yang mengelola hal ehwal parlimen itu penangguhan tersebut antara lain dibuat bagi meminda perlembagaan agar tiga timbalan speaker diperuntukkan bagi Dewan Rakyat.

Salah satu jawatan itu dijangka akan diisi oleh wakil pembangkang.

Sebelum ini Mohd Puad sendiri menyatakan penangguhan itu dibuat kerana ahli parlimen Bersatu enggan memberikan undi kepada Ahmad.

Semalam Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menjelaskan isu besar seperti pencalonan jawatan timbalan speaker wajar dibincangkan terlebih dulu dengan mereka sebelum keputusan mengenainya dibuat.

Kata Wan Saiful, Bersatu sentiasa terbuka untuk menerima cadangan bagi calon jawatan tersebut asalkan ia selari dengan prinsip parti yang mementingkan integriti dan ia tidak boleh dikompromi.

Untuk rekod Ahmad merupakan salah seorang ahli parlimen Umno yang sedang dibicarakan di mahkamah. Dia juga salah seorang pemimpin Umno yang lantang mendesak agar Muhyiddin meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Kata Mohd Puad Ahmad merupakan salah seorang ahli parlimen Umno yang pernah menarik sokongannya daripada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

“Ada komen penyokong Bersatu: ‘Kalau kau tidak sokong, kenapa kami kena sokong?’

“Tiada (juga) jaminan ahli parlimen PH akan menyokong Ahmad walaupun pembangkang akan dapat satu kuota jawatan timbalan speaker. Apakah itu kosmetik?

“Sebab itu lebih baik (Ahmad) tarik diri dan jauhkan diri daripada politik kosmetik,” katanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/591968

BACA: Terkini !!! Sajat sudah kena tahan

COMMENTS

Wordpress (1)