Ahli keluarga warga emas masih tak dapat janji temu, pengguna twitter luah kekecewaan

Ahli keluarga warga emas masih tak dapat janji temu, pengguna twitter luah kekecewaan

Seorang pengguna Twitter menyuarakan kekecewaannya apabila sistem MySejahtera menyatakan ibu saudaranya yang berusia 63 tahun tidak layak untuk menerima vaksin dalam fasa dua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), yang antara lain untuk kalangan berusia 60 tahun ke atas.

“Ibu saudara saya di Melaka yang berusia 63 tahun sudah pun mendaftar sejak 24 Februari. Profil di MySejahtera sudah pun dikemas kini namun masih belum dipanggil untuk temu janji. Hubungi hepdesk dan diberitahu yang dia tidak layak untuk fasa dua.

“Anda tidak boleh bangga dengan kadar vaksinasi jika masih ada warga emas dan orang kelainan upaya yang menunggu untuk divaksin selama berbulan tanpa kepastian. Anda masih belum boleh berbangga bila ada negeri yang masih ketinggalan jauh disebabkan rancangan pelaksanaan yang teruk,” kata pemilik akaun @kopihigh di Twitter semalam.

Katanya lagi, rakyat tidak boleh dipersalahkan dalam isu vaksinasi memandangkan kerajaan bertanggungjawab memastikan vaksin diagihkan secara saksama dan cekap kepada orang ramai.

“Kekurangan pusat pemberian vaksin atau bekalan bukan masalah yang perlu kami fikirkan,” katanya lagi.

MySejahtera telah memberi maklum balas terhadap ciapan itu dengan berkata perkara itu sedang diteliti oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan pihaknya akan terus membuat pemantauan bagi memastikan temu janji dapat diaturkan.

Bagaimanapun, pengguna Twitter itu tetap menyuarakan kekecewaannya apabila menurutnya, dia hanya mendapat maklum balas setelah membuat ciapan secara terbuka untuk membangkitkan perkara itu.

“Bayangkan berapa ramai warga emas di luar sana yang tiada akses telefon pintar, apatah lagi media sosial, yang mungkin masih tidak dimaklumkan tentang program vaksinasi,” katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berhubung perkara ini.

Pada masa sama, pemeriksaan di media sosial menunjukkan ada warganet lain yang turut berdepan masalah serupa.

Seorang pengguna Twitter yang enggan dinamakan juga berkata ibu bapanya, yang berusia 65 dan 63 tahun, juga diberitahu tidak layak untuk fasa kedua Pick.

 

“Saya juga cuba (menerusi helpdesk MySejahtera) untuk ibu bapa saya…Mereka hantar emel kepada saya dan kata ibu bapa saya tak layak untuk fasa kedua,” katanya.

Fasa kedua bermula pertengahan April lalu dengan sasaran memberi vaksin kepada 9.4 juta orang berusia 60 tahun ke atas, orang kurang upaya dan golongan berpenyakit kronik.

Kerajaan menyasarkan negara mencapai imuniti kelompok paling awal pada akhir tahun ini dengan vaksinasi kepada 80 peratus daripada keseluruhan penduduk, iaitu seramai 26.7 juta orang.

Awal bulan lalu, kerajaan menjangka berlaku kelambatan bagi fasa ketiga Pick susulan masalah bekalan vaksin. Fasa ketiga melibatkan individu berusia 18 tahun ke atas, dengan keutamaan untuk mereka yang tinggal di zon merah dan jingga.

Pada 12 Jun lalu, kerajaan mengumumkan fasa keempat yang akan dimulakan di kawasan industri yang beroperasi semasa pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/578979