Umno tidak akan campur tangan dalam hal berkaitan agihan kerusi membabitkan Perikatan Nasional (PN), tegas Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad.
Menteri besar Perak itu berkata, rundingan kerusi bagi pilihan raya umum di Perak hanya akan membabitkan Umno dan PAS seperti diputuskan oleh Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
“Saya tak campur (rundingan kerusi babitkan PN). Umno dengan PAS, BN (juga) akan babitkan dengan PAS, yang ada di Perak dan di Malaysia hanya kolaborasi dengan BN dan PAS.
“Kalau ada perundingan kerusi juga, hanya babitkan BN dan PAS, yang lain saya tak boleh komen,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan program Jiwa Murni di Surau Al-Islahiyah Pekan Lenggong hari ini.
FMT semalam melaporkan, Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu dilantik untuk mengetuai perbincangan berhubung pengagihan kerusi bersama parti komponen PN menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Faizal yang memaklumkan perkara berkata, semua parti PN berhak menyatakan minat untuk bertanding di mana-mana kerusi, sekali gus menyangkal dakwaan bahawa partinya ingin mendominasi pengagihan kerusi.
“Untuk makluman juga, perbincangan berkenaan pengagihan kerusi dengan Umno belum dimulakan.
“Jadi kalau ada dakwaan PPBM ingin mengaut terlalu banyak kerusi, itu tidak tepat kerana perbincangan belum dimulakan lagi,” katanya, selain memaklumkan bahawa beliau dilantik oleh Presiden PPBM Muhyiddin Yassin untuk mengetuai perbincangan itu.
Saarani berkata, Umno dan PAS Perak tidak akan bertembung di kerusi yang sudah dimenangi pada PRU sebelum ini yang menyaksikan Umno menang 27 kerusi dan PAS 3.
“Kita (Umno dan PAS) tak akan lawan di kawasan kita menang, yang lain kita akan agih.
“Status quo ‘kekal’, itu persetujuan dalam Muafakat Nasional,” katanya.
Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/27/umno-tidak-campur-rundingan-agihan-kerusi-pn-perak-kata-saarani/