Adly bakal dinobat kembali sebagai Ketua Menteri Melaka

Adly bakal dinobat kembali sebagai Ketua Menteri Melaka

Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari diumumkan akan kembali menjawat jawatan Ketua Menteri Melaka seandainya Pakatan Harapan (PH) kembali memerintah negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu disuarakan oleh Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew ketika berucap dalam Konvensyen Biasa DAP negeri di Taman Kota Laksamana Jaya di sini, hari ini.

Cadangan itu turut disambut secara terbuka oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan perasmiannya.

Adly yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka ketika ditemui pemberita menzahirkan keyakinan, dapat merampas kembali negeri ini yang kini dipimpin Ketua Menteri daripada UMNO, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berdepan kesukaran memperoleh keyakinan pengundi memandangkan sudah mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya lalu, sebelum terjadi episod lompat parti oleh empat ADUN PH.

“Bagi saya yang paling penting adalah muafakat dalam PH dan kita mesti perkukuh kembali demokrasi. Memang PH sudah diberi mandat dalam pilihan raya lalu.

“Tugas kita adalah untuk kembalikan mandat itu kerana kita tahu majoriti sokongan rakyat adalah kepada PH. Cumanya yang paling penting bagi kita adalah untuk memberikan kesedaran bahawa PH adalah yang terbaik,” katanya.

Kerajaan negeri yang dipimpin Adly lumpuh pada Mac 2020 apabila ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR) dan ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP) menyatakan sokongan kepada pembangkang.

Muhammad Jailani kini telah menyertai UMNO manakala Norhizam masih menjadi wakil rakyat Bebas

Berita penuh :https://perakinsights.com/2021/04/20/terkini-dap-isytihar-adly-calon-ketua-menteri-melaka/