Ada cara tentukan majoriti Muhyiddin di luar Parlimen – PH

Ada cara tentukan majoriti Muhyiddin di luar Parlimen – PH

Penentuan kehilangan kepercayaan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak seharusnya diputuskan menerusi undi tidak percaya di Parlimen semata-mata.

Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataannya berkata, status sokongan majoriti wakil rakyat juga boleh dibuat melalui bukti lain di luar Parlimen.

“Inilah prinsip undang-undang yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes (Menteri Besar Perak) Mohammad Nizar Jamaluddin lawan Zambry Abd Kadir (Peguam Negara sebagai pencelah) [2010] 2 MLJ 285 Perenggan 48.

Muhyiddin

“Kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa partinya menarik sokongan terhadap Muhyiddin, dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah bukti jelas menunjukkan perdana menteri telah hilang sokongan majoriti anggota Parlimen,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, mengambil kira keputusan dibuat Umno, Muhyiddin hendaklah meletakkan jawatan dan mengundurkan diri daripada Kabinet, kecuali jika beliau memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Jikalau Muhyiddin gagal meletakkan jawatan, Agong boleh mengarahkan perdana menteri mengadakan sidang Parlimen segera tanpa menunggu tarikh 26 hari bulan untuk mengemukakan usul percaya bagi membuktikan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, Agong berhak memecatnya dan melantik Ahli Parlimen lain yang mendapat sokongan majoriti sebagai perdana menteri,” katanya.

Jawatankuasa itu juga menyifatkan Peguam Negara, Idrus Harun, melakukan kesilapan selepas menyatakan bahawa setiap Ahli Parlimen Umno perlu menyatakan pendirian secara individu bahawa mereka telah hilang kepercayaan kepada Muhyiddin.

Semalam, Pejabat Peguam Negara mengesahkan Muhyiddin dan Jemaah Menteri masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan.

Dalam satu kenyataan, Idrus berkata, buat masa ini kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas menunjukkan perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri, bukan melalui kenyataan sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik.

Status kedudukan Muhyiddin timbul apabila Umno menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan mahu presiden Bersatu itu meletakkan jawatan.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/09/penentu-muhyiddin-hilang-sokongan-tidak-hanya-melalui-undian-di-parlimen-kata-ph/

BACA JUGA : Gempar !!! PRU15 September atau Oktober?, Ini buktinya…