88 peratus aduan salah laku libatkan Polis.Isu salah laku dalam kalangan anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih berada tahap serius apabila 88 peratus daripada 750 aduan diterima Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dalam tempoh 11 bulan tahun ini melibatkan agensi itu.
Salah laku melibatkan pasukan keselamatan itu berjumlah 659 aduan diterima suruhanjaya berkenaan sejak Januari sehingga November lalu.
Jumlah itu tidak termasuk tambahan 122 aduan yang hanya diterima sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 sehingga November lepas.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, daripada aduan orang ramai dalam tempoh PKP itu, ia melibatkan 47 aduan kerana anggota polis bersikap tidak wajar dalam urusan permohonan kebenaran rentas negeri apabila bertindak biadap, menghina serta tidak meluluskan permohonan untuk urusan kecemasan, kematian, perubatan serta lain-lain.
Jelas beliau, sebanyak 40 aduan lagi membabitkan anggota bertugas di sekatan jalan raya (SJR) selain pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh anggota polis itu sendiri dalam tempoh sama.
“Meskipun laporan yang dibuat tidak begitu tinggi namun setiap aduan yang diterima dikaji bagi tujuan penambahbaikan sewajarnya. Namun, EAIC perlu berlaku adil kepada pihak yang diadukan. Tidak semua isu-isu yang kecil dan remeh kita akan terima bulat-bulat.
“Jika kita dapati terdapat kesalahan dilakukan di bawah peruntukan Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], kita membuat pengesyoran kepada bahagian tatatertib agensi berkenaan untuk menjatuhkan hukuman,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya, semalam.
Mengulas lanjut mengenai aduan salah laku membabitkan 21 agensi seliaan EAIC, Mohd. Sidek memberitahu, selain PDRM, pelbagai aduan turut diterima melibatkan Jabatan Imigresen apabila 36 aduan direkodkan dalam tempoh sama.
“Sebanyak 21 aduan turut diterima membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia selain Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) masing-masing 17 aduan.
“Kita sentiasa telus dan memberikan kerjasama penuh dalam menangani aduan-aduan yang wajar selain mengesyorkan penyelesaian jangka panjang kepada agensi terlibat untuk menghapuskan masalah-masalah berkaitan salah laku,” jelasnya.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, sebanyak 1,953 aduan diterima suruhanjaya itu dalam tempoh 2019 sehingga November lalu, sekali gus membuktikan pihaknya sama sekali tidak berdiam diri dalam soal salah laku agensi penguat kuasa.
Kata beliau, sebanyak 250 kertas siasatan dibuka dengan 216 kertas siasatan telah selesai manakala 34 lagi masih dalam tindakan selanjutnya.
“Sebanyak 692 aduan diterima kerana agensi terlibat mengambil tindakan yang tidak munasabah, tidak adil dan menindas selain 486 aduan lagi membabitkan tindakan yang berlawanan dengan undang-undang bertulis.
“Selain itu, sebanyak 444 aduan dibuat kerana tindakan tidak mengikut kaedah-kaedah dan tatacara yang ditetapkan undang-undang manakala tindakan yang dilakukan atas motif yang tidak wajar, alasan dan pertimbangan yang tidak berkaitan (188 aduan) dan rasuah (143 aduan),” katanya