7 petugas PPV Setia City Convention Centre sah positif Covid-19

7 petugas PPV Setia City Convention Centre sah positif Covid-19

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengesahkan tujuh petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia City Convention Centre (SCCC) positif Covid-19 pada 11 Julai lalu.

CITF berkata, pihaknya sudah mengesan senarai kontak rapat yang turut diminta melaksanakan ujian saringan dan diarah melakukan pengasingan kendiri sementara menunggu keputusan.

Berdasarkan kenyataan, keputusan ujian saringan mendapati semua 11 kontak rapat adalah negatif.

Petugas

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 mengesahkan tujuh petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Setia City Convention Centre dijangkiti wabak itu.

“Oleh kerana maklumat kes positif adalah sulit dan peribadi, hanya pegawai perubatan yang bertauliah dibenarkan memiliki maklumat tersebut.”

Pada masa sama, CITF berkata pihak SCCC tidak melarang petugas lain untuk menjalani ujian saringan.

Dalam pada itu, CITF berkata kawasan dikenal pasti terlibat di PPV tersebut juga sudah disanitasi segera oleh pengurusan SCCC yang mempunyai keupayaan berkenaan.

Turut dinyatakan, CITF dari awal lagi mengguna pakai SOP di semua PPV termasuk di SCCC.

Justeru, PPV SCCC sedia maklum berkenaan arahan dan peraturan dalam Program Kawalan Risiko Covid-19 seperti penjarakan fizikal serta memantau petugas dan sukarelawan terlibat secara berterusan jika terdapat gejala.

“Petugas PPV SCCC juga menjalani pengukuran suhu badan sebelum mula bekerja pada setiap hari, diwajibkan memakai pelitup serta digalakkan memakai pelindung muka semasa bertugas.

“Ini adalah selari dengan SOP untuk PPV ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM),” kata CITF.

CITF berkata, semua PPV bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan perlu mengikut Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman sebagai langkah mengurangkan risiko penularan melalui udara.

Difahamkan, PPV SCCC juga mengesahkan penerima vaksin dalam kalangan bekas pesakit Covid-19 yang telah melepasi tempoh kuarantin dibenarkan menerima vaksinasi dengan bukti surat pelepasan dikeluarkan oleh Pusat Kesihatan Daerah.

“Bagi menjawab dakwaan bahawa terdapat pesakit Covid-19 yang pernah hadir sebelum ini, bekas pesakit Covid-19 yang telah melepasi tempoh kuarantin dibenarkan menerima vaksinasi, sekiranya mereka dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.”

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/19/7-petugas-ppv-setia-city-convention-centre-positif-covid-19/

BACA JUGA : Polis sahkan sudah serah kompaun kepada MB Kedah