5 lelaki mabuk ‘mengganas’, 2 polis cedera ditumbuk dan digigit

5 lelaki mabuk ‘mengganas’, 2 polis cedera ditumbuk dan digigit. Dua anggota polis cedera selepas ditumbuk dan digigit pada lengan kiri dan leher ketika sedang membuat pemeriksaan ke atas sekumpulan lima lelaki yang bertindak agresif di Flat Sri Nilam, Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian 11.10 malam Rabu lalu dua anggota polis terbabit dalam penugasan Unit Rondaan Motosikal (URB) membuat rondaan cegah jenayah dan rondaan Covid-19.

Katanya, selepas menerima arahan dari Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya supaya ke lokasi kejadian, terdapat sekumpulan lima lelaki sedang berkumpul dalam keadaan mabuk.

Farouk berkata, anggota URB itu kemudiannya cuba membuat pemeriksaan, namun suspek tidak memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan menghalang anggota polis menjalankan pemeriksaan serta mengeluarkan kata-kata kesat.

lelaki

“Mereka bertindak menolak dan mahu menyerang anggota bertugas. Anggota terbabit kemudiannya meminta bantuan sebelum anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) datang membantu sebelum berlaku pergelutan dalam proses tangkapan dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis kemudiannya membawa empat suspek yang berjaya ditahan ke IPD Ampang Jaya untuk siasatan tetapi dua daripadanya sekali lagi bertindak agresif dan berkelakuan tidak senonoh serta memaki hamun polis.

Katanya, semua yang ditahan itu berusia 23 hingga 26 tahun dan tidak bekerja, selain semua suspek termasuk seorang yang dapat melarikan diri di lokasi kejadian mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah kekerasan.

“Suspek yang melarikan diri sudah dikenal pasti identitinya dan usaha mengesan serta menahannya sedang dijalankan,” katanya.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 186 dan 353 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis iaitu berkelakuan tidak senonoh di balai polis dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu lari dari tangkapan yang sah,” tambahnya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/24/polis-cedera-ditumbuk-digigit-5-lelaki-mabuk/

jika Terlepas: Tular video gelandangan kena kompaun RM2000 di KL

CATEGORIES