Ketika sekolah terpaksa ditutup sewaktu perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan pada Mac tahun lalu, guru Muhammad Nazmi Rosli memerah otak mencari jalan supaya pembelajaran anak muridnya di SK Long Sukang tidak terganggu.
Sekolahnya terletak di sebuah daerah luar bandar di Sarawak, iaitu di Lawas Kecil dan PKP bermaksud murid-murid harus meninggalkan asrama mereka dan pulang ke 13 kampung yang berbeza, yang kebanyakannya sukar dijangkau.
Disebabkan PKP, penduduk tidak dapat meninggalkan kampung. Bagaimanapun pengecualian dibuat bagi wakil penduduk keluar mendapatkan bekalan makanan untuk komuniti mereka, yang kemudiannya akan diagihkan dengan menggunakan trak.
Detik “eureka” ubagi Nazmi tercetus setelah beliau menyedari kehadiran salah sebuah trak ini, yang memberi idea untuk menggunakan trak sebegitu untuk menghantar kerja rumah kepada murid-muridnya di semua 13 kampung.
Idea ini diutarakan kepada ketua-ketua komuniti dan Nazmi memulakan penghantarannya hampir serta merta.
“Saya ambil masa dua hari penuh untuk membuat perjalanan ke semua 13 kampung,” katanya kepada FMT.
Nazmi mengangkat kotak berisi kerja rumah untuk murid-muridnya ke dalam trak sebelum memulakan perjalanan.
Beliau gigih membuat penghantaran setiap minggu sehingga sekolah di Sarawak dibuka kembali.
Keseluruhan proses itu mengambil masa hampir seminggu buat Nazmi.
Setiap Isnin dan Selasa, beliau akan mengumpulkan bahan pembelajaran daripada guru-guru lain, yang bekerja secara jarak jauh, menerusi aplikasi WhatsApp, e-mel atau Telegram.
“Pada Khamis, saya dan beberapa kakitangan pentadbiran yang tinggal dekat dengan sekolah akan mencetak kesemuanya. Kemudian kami akan menyusun dan membahagi-bahagikannya,” katanya.
“Pada Jumaat, kami menghantar kerja rumah ini ke 52 buah rumah di Kampung Long Sukang.
“Kami akan pergi rumah ke rumah untuk menerangkan tugasan kepada anak-anak murid, tetapi kami tidak dibenarkan duduk bersama mereka terlalu lama. Mereka juga perlu mencuci tangan sebelum berjumpa saya.
“Hari berikutnya, kami akan berbuat perkara sama di 12 kampung lain dengan dibantu penduduk kampung dari segi pengangkutan.”
Kata beliau, menjadi “orang tengah” antara murid dan guru lain adalah tugas mencabar.
“Proses in menjadi panjang kerana ada yang murid tidak faham dan saya perlu berbincang berulang alik dengan guru subjek lain,” katanya.
Masa yang panjang dalam perjalanan turut menjadi cabaran dan beberapa kali beliau sesat ketika mencari kampung pedalaman.
Mengingat kembali kesukaran mencari sebuah kampung seperti itu beliau berkata: “Kami perlu berjalan kaki pada satu ketika, mengikut peta yang dilukis penduduk kampung.
“Tetapi ia membawa kami ke sungai. Kami hanya berjaya mencarinya selepas perjalanan keempat. ”
Katanya, lelahnya memandu, berjalan dan mendaki berjam-jam berbaloi setelah melihat keriangan anak murid ketika menyambutnya.
“Bagi murid-murid di luar bandar, sekolah dan guru adalah satu-satunya hubungan mereka dengan dunia luar,” kata Nazmi.
“Jadi apabila kami hantar kerja rumah, mereka sangat gembira berjumpa kami.”
Nazmi bersedia untuk memulakan perjalanan bersama beberapa murid yang turut serta.
Sewaktu PKP pertama, sekolahnya adalah satu-satunya sekolah yang menggunakan kaedah ini untuk pengajaran.
Sejak itu SK Long Sukang menarik perhatian Kementerian Pendidikan dan menjadi inspirasi kepada banyak sekolah luar bandar lain.
Bagi menghargai usahanya, Nazmi diberikan anugerah “RISE (Recognising Inspiring School Employees) Educator of the Year” oleh Taylor’s College.
“Kami menerima banyak ucapan terima kasih melalui WhatsApp daripada ramai guru dan pentadbir kerana kini mereka turut mendapat idea bagaimana untuk membantu murid di sekolah luar bandar, sekolah pedalaman dan sekolah pulau di Sabah juga,” kata Nazmi, yang kini mengajar di sekolah lain.
Beliau tidak pernah menganggap kerja keras dan komitmennya sebagai amal kebajikan, tetapi merupakan tanggungjawab.
“Kami buat ini kerana ia menjadi tanggungjawab kami sebagai guru. Kami dibayar gaji setiap bulan, bukan atas dasar sukarela.
“Mungkin sekolah di bandar boleh melakukan pembelajaran dalam talian tapi kami tidak boleh berbuat demikian di sekolah luar bandar,” katanya.
Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/10/guru-cetus-idea-naik-trak-hantar-kerja-rumah-ke-kampung-pedalaman/