35 pelajar positif Covid-19 di Maktab Mahmud Baling

35 pelajar positif Covid-19 di Maktab Mahmud Baling

Seramai 35 pelajar Maktab Mahmud Baling dikesan positif COVID-19 menyebabkan pusat pendidikan itu terpaksa ditutup bermula 18 April hingga Ahad ini.

EXCO Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad, berkata kesemua pelajar yang positif kini dikuarantin dan berada di dalam pengawasan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling.

“Kesemua kes positif di maktab bawah sekolah agama kerajaan negeri ini adalah membabitkan Kluster Jalan Weng dan usaha untuk mengekang penularan sedang dilaksanakan.

“Saringan kontak rapat sedang dijalankan termasuk isolasi pelajar turut dilakukan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan tujuh pelajar Maktab Mahmud Baling positif COVID-19 dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah masih lagi sedang menyiasat punca kluster jangkitan wabak berkenaan.

Sementara itu, Najmi berkata sebanyak 29 pelajar serta tiga guru membabitkan beberapa sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di negeri ini disahkan positif COVID-19 bagi tempoh 1 April hingga semalam.

“Kes positif ini membabitkan lapan sekolah di Kulim, Kuala Muda dan Baling antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pegang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Pegang, SK Bukit Selambau dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Saraswhati.

“Kita baharu sahaja ada perbincangan bersama Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin yang mahu usaha bersepadu dilakukan bagi mengekang kluster pendidikan ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Najmi berkata, lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling turut disahkan positif COVID-19 dan sekolah itu turut ditutup bermula hari ini hingga 28 April ini bagi tujuan pembersihan.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/04/809662/maktab-mahmud-baling-ditutup-35-pelajar-positif-covid-19