Bagi memenuhi permintaan penagih, sindiket dadah mengambil jalan membina makmal pemprosesan bahan terlarang dalam kawasan hutan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Razarudin Hussain berkata, taktik ini terbongkar hasil serbuan pihak polis di Tapah, Perak, November lalu.
Sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) tahun lepas sehingga Julai tahun ini, JSJN telah menyerbu 31 makmal dadah haram.
Ini membabitkan 20 premis sepanjang tahun lalu dan 11 lagi sejak awal Januari sehingga Julai lalu. Sebanyak 12 premis diserbu di Pulau Pinang, lima di Selangor, empat masing-masing di Kuala Lumpur dan Johor, tiga di Perak, dua di Kedah, dan satu di Melaka.
Razaruddin Hussain.
“Selain itu, seramai 127 tangkapan dibuat hasil pembongkaran makmal tersebut iaitu 71 orang bagi 2020 dan 58 individu untuk tempoh tujuh bulan ini.
“Penahanan melibatkan 17 ahli kimia manakala 110 pula lain-lain peranan, antaranya ‘runner’, ‘transporter’ dan sebagainya,” kata Razarudin, menurut laporan Utusan Malaysia.
Menurut beliau, siasatan mendapati makmal dalam hutan yang didirikan secara terbuka di bawah khemah itu adalah bagi memproses dadah jenis metamfetamin.
“Sindiket secara beraninya memproses dadah dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang. Ini kerana mereka tahu sekatan jalan serta kawalan polis dibuat di sempadan-sempadan negeri di kawasan jalan atau lebuh raya, bukannya dalam hutan,” katanya.
Tambahnya, premis kediaman dan rumah kedai turut dijadikan tempat memproses dadah.
Terdahulu, Razaruddin dilaporkan berkata, penguatkuasaan dan operasi dijalankan JSJN berhasil merampas kira-kira 17kg dadah dianggarkan bernilai RM764 juta dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.
Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/11/sindiket-proses-dadah-dalam-hutan-bukit-aman-serbu-31-makmal-haram/