3 lagi kit ujian kendiri lulus untuk digunakan di Malaysia

kit

3 lagi kit ujian kendiri lulus untuk digunakan di Malaysia. Kementerian Kesihatan memberikan kelulusan bersyarat kepada tiga lagi kit ujian kendiri Covid-19 menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), semalam, menjadikan jumlahnya lima setakat ini.

Tiga kit ujian terbaharu itu ialah BERIGHT-Covid-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid) oleh syarikat Medinics (M) Sdn Bhd yang dikilangkan oleh Hangzhou AllTest Biotech Co Ltd di Hangzhou, China.

Menurut laporan Berita Harian, dua lagi ialah ALLTest Covid-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid) oleh Global Science Sdn Bhd, dan JusChek Covid-19 Antigen Rapid Test (Oral Fluid) oleh Neopharma Biotech Asia Sdn Bhd, dengan kedua-duanya dikilangkan oleh Hangzhou AllTest Biotech Co Ltd di Zheijang, China.

Menerusi kit ujian itu, sampel saliva atau air liur akan digunakan untuk membuat saringan Covid-19.

Semua lima kit ujian yang sudah mendapat kelulusan bersyarat itu terdiri daripada tiga yang dikilangkan di China, manakala masing-masing satu di Korea dan Malaysia.

kit

Menerusi maklumat terbaharu yang diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di Facebooknya lewat malam tadi, kit terbabit kini boleh dijual untuk kegunaan orang ramai dan beliau turut memuat naik senarai kit ujian kendiri Covid-19.

Kementerian pada 18 Julai lalu mengumumkan dua kit ujian kendiri yang mendapat kelulusan bersyarat itu ialah Salixium Covid-19 Rapid Antigen Rapid Test yang dibuat Reszon Diagnostic International Sdn Bhd Malaysia dan Gmate Covid-19 Ag Saliva For Home Use oleh Philosys Co Ltd, Korea.

Kit ujian Gmate Covid-19 Ag Saliva For Home Use menggunakan sampel saliva untuk saringan Covid-19, manakala Salixium Covid-19 Rapid Antigen Rapid Test boleh menggunakan saliva atau calitan hidung.

Menteri Kesihatan Adham Baba, yang dipetik sebelum ini berkata setiap individu yang menggunakan kit terbabit harus melaporkan keputusan ujian pada aplikasi MySejahtera.

Portal MDA dalam laman sesawangnya menjelaskan semua kelulusan itu diputuskan secara konsensus oleh jawatankuasa Pakar Kit Ujian Covid-19.

Menurutnya, mereka memberi kelulusan berdasarkan bukti prestasi klinikal dan analitikal dilaporkan pengilang, penilaian hasil ujian daripada fasiliti ujian selaras kriteria jawatankuasa, serta dokumen sokongan Kelulusan Bersyarat Kit Ujian IVD Covid-19.

“Kit ujian kendiri ini digunakan hanya untuk tujuan saringan sahaja manakala keputusannya perlu disahkan melalui RT-PCR.

“Semua kit yang diluluskan ini boleh diedarkan menerusi farmasi berdaftar atau fasiliti kesihatan swasta,” kata mereka.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/24/kementerian-kesihatan-umum-3-lagi-kit-ujian-kendiri-lulus-bersyarat/

jika Terlepas: Lelaki tembak ahli politik di Marang direman 7 hari

CATEGORIES