3 ahli Bersatu jadi calon bebas PRN Sarawak dipecat

3 ahli Bersatu jadi calon bebas PRN Sarawak dipecat.Keanggotaan tiga ahli Bersatu yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ini atas tiket Bebas telah gugur secara automatik, kata Pengerusi Bersatu Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.

Mereka ialah Siki Balarik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga, Ricky Enteri (DUN Bawang Assan) dan Ismawi Muhammad (DUN Muara Tuang).

“Jadi sekarang ini tidak ada ahli Bersatu yang bertanding, mereka telah pun digugurkan keanggotaan secara automatik menurut Perlembagaan Bersatu. Kita telah memberikan mereka masa dan peluang untuk menarik diri tapi tiada tindakan dibuat mereka, jadi keahlian mereka telah gugur.

“Bersatu tetap dengan pendirian tidak bertanding pada PRN Sarawak,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas hadir di Rumah Panjang Chunggat, Munggu Ubah semalam bagi membantu Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Ali Biju berkempen untuk calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

Isnin lalu Ali, penyandang kerusi itu membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian, bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang memutuskan bahawa parti itu tidak bertanding pada PRN kali ini sebaliknya memberi sokongan kepada GPS.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Saratok yang juga Naib Pengerusi Bersatu Sarawak itu akhirnya mengumumkan menarik diri atas alasan bagi memelihara muafakat dan memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional dan GPS sekali gus menyaksikan beberapa pemimpin gabungan politik itu meminta beliau menerangkan keadaan sebenar kepada pengundi.

Sebelum ini Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata parti itu tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya yang bertanding pada pilihan raya tanpa kebenaran parti, termasuk keahlian boleh terhenti serta-merta.

BACA: Hubungan dengan Zahid masih OK, selalu jumpa di Parlimen – Hadi