240 lembu mati di Felda Kerteh 4 kerana aktiviti ibu harimau ajar anak memburu

240 lembu mati di Felda Kerteh 4 kerana aktiviti ibu harimau ajar anak memburu

Kematian 240 ekor lembu milik penternak sekitar Felda Kerteh 4 di sini sejak dua tahun lalu, dipercayai angkara ibu harimau mengajar anak-anak memburu haiwan ternakan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata keadaan itu dipercayai berlaku berdasarkan cakaran haiwan liar pada bangkai lembu yang ditemui .

Beliau berkata, sebahagian besar lembu yang ditemui mati, terdapat banyak kesan cakaran di bahagian kepala, badan dan belakang dan harimau terbabit sebaliknya tidak memakan daging lembu yang dibunuh.

“Kamera infa merah yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) baru-baru ini, berhasil merakam seekor ibu harimau bersama empat ekor anaknya yang berusia sekitar dua tahun.

“Berdasarkan rakaman itu, kita percaya ibu harimau itu hanya mengajar teknik memburu kepada anak-anaknya dan setakat ini tiada laporan harimau itu bertindak menyerang peneroka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ratusan lembu mati kerana harimau ajar anak memburu

Sebahagian lembu yang diternak di kawasan Felda Kerteh 4.

Dr Azman berkata, kawasan Felda Kerteh 4 di sini mempunyai kira-kira 1,000 ekor lembu yang diusahakan oleh 60 penternak.

“Kita percaya, lembu yang diternak secara Integrasi dalam ladang itu menarik kunjungan ‘Pak Belang’ untuk masuk ke kawasan itu.

“Kawasan ternakan itu terletak berdekatan dengan kawasan hutan dan kita percaya ada berbelas ekor harimau dalam hutan itu,” katanya.

Beliau berkata, kesan serangan harimau itu menyebabkan penternak di situ mengalami kerugian yang besar.

“Saya bersama PERHILITAN serta beberapa agensi kerajaan lain sudah mengadakan perjumpaan dengan penternak bagi mencari tindakan menyelesaikan masalah itu.

“Unit khas dari PERHILITAN telah mengambil langkah memantau kawasan ternakan 24 jam termasuk memasang kamera dan memasang perangkap, “katanya.

Dr Azman berkata, hasil pertemuan dengan penternak terbabit, pihaknya telah mengambil keputusan mengehadkan kemasukan penduduk ke kawasan itu.

“Kita turut menetapkan peneroka, pekerja ladang termasuk penternak dihadkan masuk ke kawasan itu hingga jam 6 petang.

“Masyarakat luar juga dinasihatkan supaya tidak pergi berkelah ke kawasan air terjun yang terletak berhampiran dengan kawasan itu, “katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap semua penternak supaya dapat mengurung ternakan mereka sebelum waktu senja.

“Operasi khas PERHILITAN akan diteruskan di kawasan itu dengan matlamat untuk menangkap dan memindahkan harimau itu demi keselamatan warga Felda, penternak termasuk harimau itu sendiri.

“Kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk membantu penternak yang kerugian melalui Tabung Bencana Pertanian,” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/834244/angkara-ibu-harimau-ajar-anak-memburu

BACA JUGA : Belasah tunang dan larikan duit RM10 ribu, lelaki diburu