1MDB : Selepas selesai dengan Ambank, Phua gesa kerajaan fokus 2 lagi syarikat

1MDB : Selepas selesai dengan Ambank, Phua gesa kerajaan fokus 2 lagi syarikat

Ahli Parlimen DAP Tony Pua memuji Kementerian Kewangan yang mendapat penyelesaian berjumlah RM2.83 bilion daripada Ambank, susulan penglibatan dalam skandal 1MDB.

Pada masa sama, Pua berkata kementerian itu kini perlu mengalihkan sasaran kepada dua syarikat audit yang juga terpalit dengan 1MDB, iaitu KPMG dan Deloitte.

Menurutnya, pentabdiran PH sebelum ini telah menyediakan dokumen tuntutan terhadap dua syarikat itu sebaik sebelum pertukaran kerajaan pada 1 Mac 2020.

Maka kerajaan sekarang perlu meneruskan langkah itu sama ada melalui mahkamah atau penyelesaian, katanya.

“Saya menggesa Kementerian Kewangan menumpukan perhatian pada tuntutan terhadap bekas juruaudit 1MDB, iaitu KPMG dan Deloitte Malaysia. Sepertimana kes Ambank, dokumen tuntutan terhadap dua entiti ini disiapkan oleh pegawai profesional lebih setahun lalu.

“Bagaimanapun, tidak seperti tahap kerjasama yang ditunjukkan Ambank, dua juruaudit antarabangsa ini gagal menunjukkan sebarang rasa kesal dan enggan mengakui apa-apa tahap kebersalahan dalam skandal RM50 juta, di sebalik bukti jelas menunjukkan kegagalan mereka untuk menjalankan tanggungjawab audit secara cekap dan baik,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.

Pua yang merupakan ahli Parlimen Damansara merupakan antara pengkritik utama 1MDB sejak 10 tahun lalu. Dia kemudian memainkan peranan penting dalam usaha mendapatkan semula aset 1MDB, selaku setiausaha politik menteri kewangan pada Mei 2018 hingga Februari 2020.

Pada 2015, Pua memfailkan aduan terhadap KPMG dan Deloitte kepada Institut Akauntan Malaysia (MIA). Pendengaran aduan itu masih berjalan.

Ketika itu, dia mendakwa PKMG gagal bertindak sewajarnya berhubung pelaburan 1MDB bernilai AS$1 bilion dalam Petrosaudi International Limited pada 2009 dan 2010.

Menerusi pelaburan itu, sebanyak AS$700 juta diselewengkan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho menerusi syarikat Good Star Limited.

 

Dalam aduannya kepada MIA, Pua mendakwa KPMG menandatangani audit kewangan 2010 1MDB hanya tiga minggu selepas menggantikan Ernst & Young sebagai juruaudit syarikat itu.

Berkenaan Deloitte pula, Pua mendakwa syrikat itu secara sengaja atau cuai gagal melakukan pemeriksaan sewajarnya (due diligence) dan mengaudit aliran tunai serta risiko kecairan 1MDB.

Deloitte menarik diri sebagai juruaudit pada 2016, setelah Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) membentangkan dapatan siasatannya terhadap 1MDB.

Sementara itu, Pua berkata dia “gembira” usaha pentabdiran PH untuk mendapatkan semula kerugian akibat skandal 1MDB membuahkan hasil, yang sebahagiannya disebabkan kerjasama oleh pengurusan akann Ambank, yang menurutnya tidak seperti KPMG dan Deloitte.

“Saya percaya penyelesaian RM2.83 bilion, yang bersamaan hampir 30 peratus modal pasaran bank adalah jumlah yang saksama, dengan mengambil kira tahap kerjasama yang diberikan kepada kerajaan,” katanya.

Pua juga menyuarakan penghargaan kepada akauntan dan peguam yang terlibat dalam menyediakan tuntutan menyeluruh terhadap semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kerugian dan penyelewengan dana 1MDB.

“Dokumen-dokumen tuntutan ini disiapkan apda minggu-minggu terakhir sebelum pengkhianatan mandat rakyat oleh ahli Parlimen tidak berprinsip, untuk membentuk kerajaan baru,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pemilik Ambank iaitu AMMB Holdings Bhd berkata pihaknya telah meningkatkan dan menambah baik proses bagi menepati piawaian semasa.

“Untuk ini, AMMB Group memutuskan untuk menyelesaikan hal-hal yang lalu bagi membolehkan kami memberi tumpuan penuh kepada pernigaan,” kata syarikat itu.

Syarikat itu tidak akan membayar sebarang individen bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, tetapi mendakwa tahap kecairannya kekal tinggi.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/564771