16 September hari untuk sembuhkan negara

16 September hari untuk sembuhkan negara.Saya bangga dengan nama Malaysia kerana ia adalah identiti kita. Sejarah panjang negara telah membawa kita kepada 16 September 1963 dalam pembentukan sebuah Negara Persekutuan modern bernama Malaysia.

2. Pembentukan Malaysia pada hari ini adalah permulaan semangat jiwa besar kesemua pihak dari wilayah dan latar kaum berbeza disatukan dibawah sebuah Persekutuan. Jikalau Merdeka 1957 adalah sebuah perjuangan pembebasan maka Hari Malaysia adalah perjuangan membentuk identiti yang satu sebagai rakyat Malaysia.

3. Hari ini kita memaknai erti satu simbol, satu entiti dan satu watan. Semua Malaysia adalah satu bangsa walau keturunan kita berbeza. Kesatuan satu bangsa inilah yang patut menyatukan kita dan membanggakan kita, kita adalah Bangsa Malaysia.

4. Latar Keturunan dan Kaum adalah sejarah kita manakala Agama adalah petunjuk untuk kita menjadi Bangsa Malaysia yang berguna dan bermenfaat untuk negara. Janganlah latar berbagai ini menjadi alasan kepada kebencian, permusuhan dan ketegangan. Jadilah hari ini sebagai jambatan kukuh menyatukan kepelbagaian ini atas cintakan kepada negara dan bangsa kita.

5. Ketahanan Diri kita berada dalam persimpangan yang sangat kritikal. Pandemik mengajar kita erti menghargai nyawa, erti meneruskan kehidupan dan erti menjaga sesama kita. Hanya keutuhan kita sebagai satu Bangsa Malaysia sahaja yang mampu menyuntik semangat Ketahanan Diri sebagai syarat untuk kita masuk Fasa Pemulihan seterusnya.

6. Bersempena 16 September ini kita perlu ambil peluang untuk kita sembuhkan negara dari segala cabaran yang melanda negara samada dari sudut krisis politik, sosial mahupun ekonomi. Lebih rapat kita berganding bahu lebih cepat proses sembuhan negara akan berlaku.

SELAMAT HARI MALAYSIA

Yb DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Pengerusi PH Perak
Ahli Parlimen Parit Buntar

Sumber:

BACA: Tanah runtuh Forest Hill, 3 mangsa setakat ini disahkan maut