15,537 perniagaan gulung tikar, lebih 155,000 pekerja diberhentikan – Menteri

Seramai 155,893 orang kehilangan pekerjaan dan 15,537 perniagaan gulung tikar semasa wabak Covid-19, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Namun, katanya pemberhentian kerja dilakukan menurut undang-undang, oleh itu tidak ada seorang pun daripada 5,959 majikan yang dihadapkan ke mahkamah kerana melanggar Akta Kerja 1955.

“Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja sentiasa bertindak proaktif dalam membantu dan mengesan pekerja tempatan yang terlibat dengan pemberhentian pekerja yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

15,537 perniagaan gulung tikar, lebih 155,000 pekerja diberhentikan - Menteri

“Pada tahun 2020 sehingga Julai 2021, sebanyak 5,095 majikan memberhentikan seramai 141,191 pekerja di Semenanjung Malaysia.

“Manakala bagi negeri Sarawak, sebanyak 509 majikan terlibat dengan pemberhentian melibatkan seramai 8,996 orang pekerja dalam tempoh yang sama,” katanya pada jawapan parlimen semalam.

“Di negeri Sabah pula, 355 majikan terlibat dalam pemberhentian seramai 5,706 pekerja dalam tempoh 2020 hingga September 2021 yang melibatkan sektor penginapan dan rantaian perkhidmatan makanan serta minuman, sektor pembuatan, sektor pembinaan dan sektor pentadbiran dan khidmat sokongan,” jelasnya lagi.

Kementerian juga katanya, telah memantau keadaan dengan rapi untuk memastikan bahawa hak dan kebajikan pekerja tidak diabaikan.

“Bagi tujuan tersebut, majikan diwajibkan untuk melengkap dan mengemukakan Borang Pemberhentian (PK) dalam tempoh tiga puluh (30) hari sebelum tindakan pemberhentian dilakukan sebagaimana Seksyen 63, Akta Kerja 1955,” katanya.

“Ini bertujuan memastikan hak-hak pekerja dibayar mengikut undang-undang dari segi pembayaran faedah penamatan kerja, notis penamatan dan lain-lain faedah kewangan,” kata Saravanan.

“Majikan yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang ada atau melanggar peruntukan di bawah akta, apabila sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap kesalahan.

“Sehingga kini tiada tindakan pendakwaan yang dibuat ke atas majikan kerana majikan yang memberhentikan pekerja mematuhi peruntukan di bawah seksyen ini,” jawabnya atas pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong).

Ahli parlimen pembangkang memintanya untuk memberikan jumlah majikan yang telah diambil tindakan memberhentikan pekerja sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada tahun 2020 hingga sekarang.

Dalam jawapan parlimen berasingan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata sejumlah 15,537 perniagaan terpaksa ditutup dari 2020 hingga Ogos 2021.

Ini melibatkan sektor perdagangan jualan borong, jualan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, katanya kepada Rozman Isli (Warisan-Labuan) yang meminta para menteri untuk memberikan angka perniagaan yang berakhir ketika wabak tersebut.

Pun begitu, Alexander berkata trend serupa turut berlaku sebelum pandemik Covid-19 pada 2019 apabila 13,527 perniagaan gulung tikar.

“Pada tahun 2020, jumlah penamatan perniagaan yang melibatkan sektor perdagangan jualan borong, jualan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal ialah sebanyak 10,487 perniagaan manakala sebanyak 5,050 perniagaan dalam sektor ini telah menamatkan perniagaan dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 31 Ogos 2021,” katanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/592454

BACA JUGA : [Video] Netizen kecoh dengan penampakan lori tanpa pemandu

COMMENTS

Wordpress (0)